assalamualaikum.
demam teruk kembali. sekali dalam 5 tahun. namun kali ini saingannya agak sengit. mungkin kerana aku bermustautin di tempat yang sememangnya hangat. oleh kerana itu aku terasa bahangnya.
ada orang memilih yang biru gelap. sebahagian lagi memilih hijau, yang lain pula memilih bulan terbelah. ya. fahamannya berlainan. kalau silap langkah, bisa menjadi fanatik dan boleh terputus tali persaudaraan. tali silaturrahim yang telah disemai sekian lama.
walau apa pun, kita harus bijak. bijak mengawal emosi. jangan disebabkan berbeza fahaman ini, segala kebaikan dilupakan. segala keburukan diutarakan. apakah yang kita dapat dengan bermusuhan sesama sendiri? orang yang menang bertanding girang jikalau menang. yang kalah mungkin kecewa bukan kepalang. tapi kita?
walau berbeza sungguh fahamannya. jangan dipisahkan tali persaudaraan itu. kerana apa? kerana kelak kita sendiri yang rugi.
sungguh aku redha dengan siapa pun yang akan menang. namun aku berharap, segalanya berjalan lancar. tiada kacau bilau. tiada persengketaan.
sesiapa pun yang telah diberikan mandat kelak, moga tabah dan cekal mengharungi segala rintangan. kerana menjadi pemimpin itu bukan perkara yang mudah. bukan ibarat menjadi ketua darjah, tetapi memikul tanggungjawab sebagai ketua negara. harus amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. telus juga jujur. tetapi jika ingkar segala sifat mahmudah, jawablah di akhirat kelak. jika tahu akan jawapannya.